Monogatari Cinta Di Bumi Fujiyama - Episod Dua
Episod Satu - Rutin harian di musim sejuk
Pertemuan dengan si dia
“Khalid, pukul berapa Saito datang ni? kau kata semalam pukul 6:30 pagi. Dah dekat pukul 7 pagi ni” tanya Fazley sambil melihat jam tangannya. “Pukul 7:15 pagi” jawab Khalid, ringkas. “Aii sejak bila pulak tukar plan ni? Nihonjin (orang Jepun) apa ni, tak tepati masa” rungut Fazley. “Bukan orang Jepun yang tak tepat masa, kau tu la yang selalu tak tepat masa” sampuk Saha. “Aku ok apa? Sekurang-kurangnya aku sampai la juga pukul 6:50 pagi” jawab Fazley, bangga. “Aku yang suruh Khalid bagitau kau supaya datang pukul 6:30 pagi. Saito memang dari awal lagi janji akan datang pukul 7:15 pagi” balas Saha, sinis. “Ooo kira kau dah kenakan aku la ni” jawab Fazley. “Kita orang dah banyak kali terkena dengan kau, cuma kali ini aku tak nak kau bikin malu aje kat Saito. Nanti tak pasal-pasal semua orang kena tunggu kau pulak.” sambung Saha lagi. “Yelah yelah aku ni memang memalukan kau orang aje.” balas Fazley sambil membelakang Saha dan Khalid.
“Aiii.. lelaki brutal macam kau nipun tau merajuk juga ke?, ini mesti terpengaruh dengan drama Korea kan? Hahaha…” Saha mengejek. “Ha ha.. gelaklah, gelaklah puas-puas. Nanti bila kau tersangkut berjiwang dengan mana-mana awek nanti, lepas tu kalau kau tangkap leleh nanti, aku berguling-guling gelakkan kau. Baru ada akal” balas Fazley, menyeringai sambil mengangguk-anggukkan kepalanya. “Ala…. kaupun tau kan.. orang sini mana pandang orang asia tenggara macam kita ni. Lainlah kalau mat salleh atau pak itam.” Bidas Saha. “Aii! muka kau yang hensem mengalahkan mat salleh pun takan depa tak pandang kot” puji Fazley. “Iyelah tu…” balas Saha sambil mencebikkan mukanya. “Saha.. Saha.., kenapalah hensem kau tu tak hinggap aje kat muka aku. Buang karan betullah. Kalau akulah isshh isshh, macam-macam jenis baju aku boleh pakai” gurau Fazley. “Hmm… tuhan sayangkan kau, sebab tulah tuhan tak bagi kau muka hensem, belum apa-apa dah pikir bukan-bukan.” Sindir Saha. “Eh, aku ke kau yang pikir bukan-bukan” balas Fazley.
“Haa tu pun Saito dah sampai” tiba-tiba Khalid menjerit.
Kelihatan sebuah kereta Toyota bergerak masuk menuju ke arah mereka.
“Ohayogozaimasu” Saito membuka pintu keretanya sambil mengucapkan selamat pagi.
Mereka pun berbalas-balas ucapan selamat pagi. Kelihatan berkepul-kepul asap kondensasi keluar daripada mulut masing-masing.
“Ehh, ada sebuah kereta lagi sampailah.” Jerit Fazley. “Ooo.. itu mesti kawan Saito” jawab Khalid. “Aii.. berapa banyak lagi kereta yang nak ditunggu ni.” rungut Fazley. “Hoka wa Tama Esty ni konai, chokubin de ikimashitayou (yang lain-lain tidak ke Tama Esty mereka telah pergi terus)” Saito seakan-akan faham akan reaksi Fazley. Terdiam Fazley, kaget. “Go syoukai shimasu, Yumi chan tok Keiko chan desu” Saito memperkenalkan Yumi dan Keiko, 2 orang gadis jepun.
Mereka pun saling berkenal-kenalan.
“Ok, kita boleh bergerak sekarang. Sempai berdua boleh naik kereta Keiko. Aku naik kereta Saito.” Ujar Khalid. “Aaii, ini sudah bagus. Hihihi” Fazley berbisik pada Saha sambil menampakkan gusinya lalu mengetap-getapkan giginya. “Aku booked Keiko tau, fuhh cunlah awek jepun tu” ujar Fazley lagi.
“Haa, kau ambik dua-dua sekali. Aku naik kereta Saito.” Balas Saha. “Kau ni jantan ke apa bro, macam mana le kau boleh lepaskan baju-baju yang mahal macam ni.” Jawab Fazley sambil mengerutkan keningnya kehairanan. “Aku memang bukan jantan macam kau. Aku lelaki melayu terakhir” jawab Saha. “Piiirah!!” Jerit Fazley sambil menepuk kuda-kuda kakinya dan menongkat tangan kanannya ke udara.
Gelagat Fazley yang pelik dan melucukan itu menarik perhatian Yumi dan Keiko. Kedengaran suara dua orang gadis itu tertawa kecil sambil jari-jemarinya menutup bibir. Suasana bertambah riang di hiasi gelak ketawa, dik gelagat Fazley yang menjadi-jadi sejak kehadiran dua gadis comel itu. Lebih kurang pada pukul 7:30 pagi mereka pun bergerak keluar meninggalkan hostel pelajar antarabangsa Tama Esty lalu menuju ke destinasi, berdekatan dengan kaki gunung Fuji.
“Ke mana kita ni Khalid?” Tanya Saha. “Kalau ikut kata Saito tadi, semua ahli akan berkumpul di Kawaguchiko Park” Jawab Khalid. “Mak aii, jauh juga tu kan?” Saha dengan nada terkejut. “Tak jauh sangatlah. Kalau ikut Chuo Highway, dalam satu jam setengah sampai la..” Jawab Khalid sambil merujuk pada sistem navigasi di telefon pintarnya. “Jauh juga tu” balas Saha. “Ehh.. sempai tak pernah keluar pergi jalan ke tempat sejauh macam ni ke?” Tanya Khalid sedikit terkejut. “Aaa.. emmm.” Saha terkedu seketika. “Ooo sempai kan rajin study kan?” Khalid cepat-cepat berdalih, sedar akan kesilapannya mengaju soalan cepumas tepat ke batang hidung Saha.
“Tak juga. Aku suka berselimut depan tv aje.” Balas Saha. Perbualan terhenti seketika. “Apa laaa.. Fazley tengah buat sekarang ni, tak habis-habis lagi dengan aksi badut agaknya.” Tiba-tiba Saha bersuara semula. “Hahaha.” Khalid ketawa sambil menoleh ke arah Saha yang duduk di belakang. “Oh ya, kenapa sempai tak ikut Fazley sekali? Ada alahan dengan kaum wanita ke?” Khalid sekali lagi terlontar soalan cepumas. “Ehh tak payahla bersempai-sempai lagi dengan aku, boleeeh” Ujar Saha. “Begini, aku bukannya alah dengan kaum hawa, aku lelaki sejatilah. Cuma…. aku tak pandai berbahasa dengan kaum hawa” Jawab Saha.
“Oh ya ke, lelaki macho la ni. Main jeling-jeling jer, ha ha ha..” Gurau Khalid. “Mungkin kau belum cuba lagi. Lepas dah cuba sekali nanti, haa.. tak nak berhenti la pulak, macam Fazley tuu..” ujar Khalid lagi, cuba memberi dorongan. “Hmm.. tengoklah macam mana nanti” Jawab Saha ringkas dengan nada perlahan. “Ehh, apa agenda kita di Kawaguchiko Park nanti” Saha pintas menukar tajuk perbualan. “Aku pun tak pasti Saha, aku ada tanya kat “taukey musat” kita ni ha” Khalid menunding ke arah Saito dengan muncung bibirnya. “Tapi naisyou, rahsia katanya” ujar Khalid sambil menepuk perlahan bahu kiri Saito. “Ein dayou, oshietek yaruka” Saito tidak kisah untuk mendedahkannya.
Setelah itu mereka rancak membincangkan aktiviti-aktiviti yang akan mereka lakukan nanti. Kadang-kadang Saito terpaksa mengulangi penjelasannya terutama untuk Khalid yang masih kurang kamus di minda. Mujur ada Saha, dapat juga sedikit sebanyak meringankan bebanan Saito yang sabar menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang tutor.
Kenderaan yang dipandu Saito meluncur perlahan. Kadang-kadang perjalanan tersekat-sekat kerana mereka masih lagi berada di tengah pusat bandar Tokyo. Sementara itu, kereta yang di pandu Keiko pula setia menyusuri di belakang.
Suasana di kereta yang dipandu oleh Keiko pula gamat dengan gelagat mat romeo melayu sang Fazley.
“Hu hu hu …, omoshiroi ne”
kedengaran Keiko dan Yumi ketawa sambil mengeluarkan perkataan yang selalu di sebut oleh masyarakat Jepun apabila rasa terhibur. Fazley menyeringai lebar hingga menampakkan gusinya. Kembang hidung Fazley kerana gelagatnya telah dapat menggeletek hati Keiko dan Yumi.
“Ano saa..”
Fazley bersuara untuk mendapat perhatian semula daripada Keiko dan Yumi yang masih lagi tersenyum mengenangkan jenaka sebentar tadi.
“Nande kimi tachi wa chokusetsu ikanakatta no?” (Kenapa pagi tadi kamu semua tak pergi terus saje?) tanya Fazley . ”Ore to aitai kara datta desyo (Ini mesti sengaja datang nak jumpa aku kaaan?) Gurau Fazley. “Iyak..” (tidak..) Yumi bersuara. “Kami bahasa mareisiya mafu burajaru” sambung Yumi lagi.
Fazley terdiam sejenak mungkin tersentak apabila terdengar bunyi-bunyian pelik yang dia sendiri kurang pasti sama ada yang didengarnya itu bahasa Jepun atau bahasa Melayu.
“Ha ha ha…” tiba-tiba Fazley ketawa besar berdekah-dekah.
“Awak nak cakap… kami bahasa malaysia mahu belajar….. kaaan?” “Ya butul. mungapa Fazuli-san, sarah ada ka?” Ujar Yumi. “He he, memang laaa.. ada salah sebab awak terjemah terus daripada nahu bahasa jepun, bunyi sebutannya pun terlalu kejepunan sangatlah.” Jawab Fazley dengan tutur kata yang agak laju. Yumi terdiam tak terkata-kata, mungkin kurang faham dengan penjelasan Fazley. “Kami mahu berajar bahasa mareisiya. Betul tak?” Tiba-tiba Keiko pula bersuara.
Fazley sekali lagi terkedu, sebab kali ini bunyi sebutannya agak baik, mungkin lebih baik daripada kebanyakan masyarakat cina di Malaysia.
“Ehh, boleh tahan juga sebutan awak, nahunya pun tepat. Di mana awak belajar?” Tanya Fazley dengan raut muka yang serius. “Saya berajar meralui enjin carian cermin mata dan juga meralui tiub awak” Jawab Keiko dengan pantas. “Ok laaa, boleh tahan juga sebutan awak. Cuma sebutan huruf L awak tu bunyi huruf R sangatlah” Komen Fazley. “Oh ya… enjin carian cermin mata dan tiub awak itu apa dia?” Ujar Fazley mengerutkan dahinya, sambil mengambil peluang menatap sisi wajah Keiko yang cantik menawan. “Bukankah itu google dan youtube dalam bahasa mareisiya?” Jawab Keiko sambil menoleh ke arah Fazley.
“Haaaa ha ha haha ahahh”
tanpa perlu terkedu Fazley terus tertawa besar, sambil menepuk-nepuk kedua-dua pehanya dan kemudian mengesat-gesat air mata yang meleleh keluar dengan hujung jarinya.
“Naani yo… (Apa ni…) Keiko bersuara dengan lenggok nada manja ala gadis Jepun.
“Haaaa ha ha hahha ahaha”
Fazley ketawa lagi, kali ini lebih kuat. “Hidoiii…” (teruk…) Keiko sedikit menjerit kemudian mengembungkan kedua-kedua pipinya yang kemerah-merahan.
“Keiko, dalam bahasa Jepun pun awak akan sebut google dan youtube kan… jadi, tak perlulah diterjemahkan kata nama khas tu” ujar Fazley di celah-celah hilaian gelak-tawanya. “Ummm.. betul kata awak. Saya tidak perasan sebab terlalu fikir untuk tukar bahasa. Maafkan saya” ujar Keiko dengan sebutan yang bulat-bulat dan berhati-hati. “Ehh.. tak payah minta maaflah, awak tak bersalah pun. Lagi pun awak ni cepat belajarlah. Baru saja saya tegur sebutan awak tadi, dah kurang pekat sebutan R awak tu.” Puji Fazley. “Keiko memang bugitu, subab itu dia purajar turbaik jurusan purubatan di Unibasiti Waseda” Yumi mencelah dengan sebutannya yang pekat pelat Jepun. “Awak pun apa kurangnya Yumi, boleh cakap dengan susunan ayat dan kosa kata tahap macam ni kira sudah menakjubkan!” Puji Fazley sambil memalingkan mukanya ke arah Yumi. “Kosa kata itu apa?” Tanya Yumi.
“Itu kena tanya pak cik cermin matalah, ha ha ha” gurau Fazley. “Teruklah awak ni Fazley” Keiko mencelah.
Perbualan antara mereka terus rancak dialunkan dalam irama melayu. Kadang-kadang dirojakkan dengan irama jepun. Keiko dan Yumi tersenyum manis gembira dengan kehadiran Fazley sebagai sparing partner. Mungkin kerana ini kali pertama mereka tidak perlu melakukannya secara maya. Fazley pula, hatinya senang. Dia nampak bahagia dikelilingi dua gadis jepun cun yang berjaya digeleteknya. Jarak ke destinasi masih lagi berbaki lebih kurang 60 minit perjalanan. Kelihatan kereta yang di pandu oleh Saito memberi isyarat ke kiri dan membelok menuju ke arah sebuah restoren. Keiko masih setia mengekori dari belakang.